[INFO] Bagi Yang ditolak permohonan: Rayuan BR1M April Ini

Orang ramai yang ditolak permohonan mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh mengemukakan rayuan BRIM bermula bulan depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tindakan seterusnya.

“Pemohon yang gagal dalam permohonan boleh membuat rayuan mulai April ini.

“Ia bagi membolehkan LHDN melakukan proses terhadap rayuan dikemukakan pemohon,” katanya kepada media sempena Hari Hasil 2018 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

Tahun ini, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM6.3 bilion bagi pengagihan kepada kira-kira tujuh juta penerima BR1M di seluruh negara.

Fasa pertama pengagihan bulan ini bermula Isnin lalu iaitu secara berperingkat untuk tempoh seminggu manakala fasa seterusnya pada Jun serta Ogos.

Penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerima RM1,200, penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000 (RM900) manakala penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah (RM450).

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, Malaysia masih menunggu pengenalan sistem cukai Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk industri baharu yang akan digunakan di negara ini.

Katanya, Malaysia menunggu untuk mempelajari mekanisme cukai dikendalikan negara membangun bagi industri baharu seperti syarikat penyedia platform dalam talian dari luar negara merangkumi Uber, Airbnb, Grab, Amazon dan Google.

“Ketika ini, negara OECD dan negara membangun belum menemui penyelesaian terbaik bagaimana untuk mengenakan cukai kepada industri baharu kerana ia adalah isu yang sangat rumit.

“Kita sedang belajar daripada mereka dan menunggu mekanisme yang akan mereka ada, kemudian kita bandingkan,” katanya.

Cukai ke atas syarikat berkenaan, katanya, turut berkait dengan undang-undang antarabangsa.

Justeru, Johari berkata, mekanisme digunakan mesti betul kerana ia adalah isu yang rumit.

“Ia bukan hanya kaedah mengenakan cukai kepada mereka tetapi juga berkait dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sumber 

Kenapa Status BR1M ‘DALAM PROSES’ ? Ini Pendedahan Penting Yang Semua Perlu Tahu

Ketika anda menyemak status BR1M 2018 melalui portal mybrim, anda akan terjumpa status ” DALAM PROSES”. Apakah makna status BRIM ini?
Status BRIM Dalam Proses [semakan BR1M ]

BR1M dalam proses bermaksud permohonan anda masih lagi dalam fas menentukan sama ada anda layak menerima brim atau tidak. Dalam erti kata lain, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri masih lagi mencari maklumat anda sebagai contoh maklumat pekerjaan, pendapatan dan lain-lain.

LHDN PERLU MENYIASAT ANDA

BR1M dalam proses juga selalunya terjadi apabila anda mengemaskini status perkahwinan anda. Jika tahun lepas anda bujang, dan tahun ini anda berkahwin, LHDN akan menyeiasat sama ada perkara ini benar. Sebab itulah BR1M dalam proses.

Gambar di bawah menunjukkan screenshot semakan BRIM yang menunjukkan “Dalam Proses”. brim dalam proses

Maka, anda perlulah bersabar. Duit anda mungkin masuk sedikit lambat berbanding orang lain jika permohonan ini berjaya.

Sumber: mulutmanisviral

Kenapa Subsidi Minyak Ditarik Sebelum Ini Dan Digantikan Dengan BR1M? Bank Negara Jawab ..

BANTUAN Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu cetusan idea Bank Negara Malaysia (BNM) terbukti membantu peringkat isi rumah dengan membolehkan kumpulan berpendapatan rendah meringankan tekanan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Menurut bank pusat itu, BR1M turut menyokong daripada segi perbelanjaan dan pertumbuhan berikutan kecenderungan kumpulan berpendapatan rendah untuk berbelanja adalah tinggi.

“Tempoh pasca BR1M menyaksikan pelarasan secara berperingkat dan teratur serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan kawalan harga.

“Susulan kekurangan gangguan harga itu, ekonomi menjadi lebih fleksibel apabila berdepan kejutan dan seterusnya membawa kepada pertumbuhan dan mengekalkan peningkatan pendapatan,” kata bank pusat itu dalam jawapan bertulis kepada Bernama mengenai impak BR1M.

Mengulas sama ada pembayaran BR1M bertujuan mengambil hati rakyat, BNM berkata, ia semata-mata menumpukan pertimbangan ekonomi bagi membantu golongan miskin dan memastikan subsidi bersasar itu lebih cekap serta dilaksanakan secara berkesan.

ASAL USUL BR1M BERMULA PADA TAHUN 2011

Bank pusat itu berkata, idea BR1M itu pertama kalinya dibangkitkan dalam Taklimat Lembaga Pengarah BNM kepada Perdana Menteri pada Mac 2011.

Cadangan itu kemudiannya dipertimbangkan secara teliti dan seterusnya dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi pada Mac dan Ogos 2011.

“Secara asasnya, cadangan itu bertujuan membantu kumpulan sasaran yang memerlukan secara langsung apabila subsidi menyeluruh kerajaan itu dikurangkan secara berperingkat,” katanya.

Malah, kata bank pusat itu, sebelum BR1M diperkenalkan pada 2012, kerajaan sudah berada di tahap ke arah pengukuhan fiskal, termasuk rasionalisasi subsidi.

“Bagaimanapun, tidak wujud sebarang mekanisme lain bagi membantu golongan miskin dan memerlukan ini yang terjejas akibat pelaksanaan langkah itu.

“BR1M berperanan sebagai bantuan langsung dan bersasar untuk kumpulan berpendapatan rendah meredakan tekanan akibat pelaksanaan rasionalisasi subsidi,” kata BNM.

Sehubungan itu, mekanisme pemindahan tunai itu dilihat sebagai langkah pertama dan penting ke arah pembaharuan sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara yang lebih mendalam.

BNM seterusnya bertindak mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan bagi membantu golongan terbabit.

Ditanya mengenai kajian dilakukan sebelum BR1M diperkenalkan pada 2012, BNM berkata, ia menjalankan penyelidikan mengenai mekanisme subsidi yang lazim pada masa itu serta jaringan keselamatan sosial di negara lain.

“Apa yang didapati pelbagai subsidi, pengurusan dan kawalan harga telah mewujudkan ketidakberkesanan ketara dan menghalang ekonomi daripada penyesuaian terhadap realiti global dan domestik,” kata BNM.

Turut didapati, subsidi dan mekanisme kawalan harga sedia ada itu membawa kepada kos fiskal besar dan berpotensi menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan dalam jangka panjang.

​​​​ “Tidak kurang pentingnya, rejim subsidi sedia ada itu adalah regresif kerana mekanisme itu diagihkan secara tidak seimbang dan dinikmati lebih ramai golongan kaya berbanding miskin.

KOS TANGGUNG SUBSIDI LEBIH BESAR

“Kos subsidi menyeluruh itu terhadap ekonomi amat besar.

“Berdasarkan keadaan itu, BR1M diperkenalkan sebagai bantuan langsung kepada kumpulan sasar kurang bernasib baik menerusi kaedah lebih berkesan serta cekap,” katanya.

Subsidi bersasar itu dalam bentuk pemindahan langsung daripada kerajaan kepada kumpulan tidak bernasib baik dalam usaha mengurangkan beban kewangan mereka.

Menerusi rejim subsidi menyeluruh sebelum ini, setiap segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang kewangan mereka, berhak menikmati subsidi sama.

“Ini adalah sistem tidak seimbang,” kata bank pusat itu.

Salah satu contoh subsidi menyeluruh itu adalah subsidi minyak yang kemudiannya digantikan dengan sistem pengurusan secara apungan pada 2014.

Satu kajian berdasarkan Kaji Selidik Perbelanjaan Isi Rumah 2009/2010 menunjukkan kumpulan isi rumah 20 peratus tertinggi menerima 42 peratus daripada subsidi berkenaan sebaliknya, kumpulan isi rumah 20 peratus termiskin hanya menerima 4.0 peratus subsidi itu.

ANTARA SEBAB UTAMA SUBSIDI DITARIK

“Ini disebabkan kalangan isi rumah mewah itu memiliki bilangan kereta lebih banyak dan besar serta menggunakan jumlah bahan api banyak.

“Oleh itu, sistem subsidi menyeluruh itu adalah mekanisme kurang berkesan dalam memastikan manfaat harga minyak rendah itu adalah secara berleluasa dan inklusif.

“Ini memerlukan lebih banyak pendekatan bersasar bagi menggantikan sistem subsidi menyeluruh berkenaan,” kata BNM.

SUMBER : HMETRO ONLINE