“Najib Akan Terima Hukuman Penjara Bergantung Pada Hasil Siasatan” – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan mempunyai kes terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak “dalam masa terdekat”.

Beliau juga berkata sama ada Najib akan menerima hukuman di penjara bergantung kepada hasil siasatan.

“Jika tiada kes, kami tidak akan tahan tanpa perbicaraan,” katanya dipetik sebagai berkata oleh Reuters.

Mahathir berjanji menyiasat skandal 1MDB jika Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa dan berulang kali mendakwa Najib menyelewengkan dana daripada firma itu, meskipun dinafikan bekas perdana menteri berkenaan.

Ahli politik berusia 92 tahun itu berkata beliau akan menerajui negara selama dua tahun dan akan terus memainkan peranan di sebalik tabir walaupun selepas berundur daripada jawatan itu.

“Di peringkat awal, mungkin satu atau dua tahun, saya akan jadi perdana menteri,” katanya pada persidangan video dengan Wall Street Journal di Tokyo melalui pautan video dari Malaysia.

“Saya akan memainkan peranan di sebalik tabir walaupun saya berundur,” katanya.

Mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menggantikannya sebagai perdana menteri, Mahathir berkata bekas pemimpin pembangkang itu perlu menang kerusi parlimen sebelum diberikan jawatan kabinet.

Bagaimanapun katanya Anwar akan memainkan peranan yang sama dalam gabungan itu seperti pemimpin tiga parti yang lain.

“Saya mengharapkan dia memainkan peranan yang sama dengan para pemimpin tiga parti lain. Tidak akan ada kuasa khusus yang diberikan kecuali diberikan kepada menteri atau timbalan menteri atau timbalan perdana menteri,” katanya.

Anwar, yang menjalani hukuman penjara lima tahun, dijadual dibebaskaan esok selepas mendapat pengampunan diraja.

Sementara itu, Mahathir juga berkata beliau mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia oleh China dan negara-negara lain, tetapi pelaburan itu mesti membawa modal dan teknologi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga mencadangkan keperluan untuk mengehadkan kemasukan pendatang.

“Mana-mana negara pun mahu menghalang pendatang dengan jumlah besar. Kami mempunyai masalah yang sama, kita perlu menyekat pendatang dan menerima jumlah tertentu yang boleh kita terima,” katanya.

-MalaysiaKini Sumber

PM jumpa ketua hakim negara, Gani Patail

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mengadakan perbincangan dengan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail di bangunan Yayasan Perdana di Putrajaya.

Abdul Gani mengetuai pasukan petugas khas mengenai isu dana RM2.6 bilion dan SRC International. Ketika siasatan dijalankan, beliau digantikan dengan alasan kesihatan dan digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sepanjang tempoh ini, terdapat desas desus kononnya wujud draf pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Datuk Najib Razak.

Raus dan Gani tiba sekitar jam 2.40 petang dengan kereta berasingan.

Semalam, ahli parlimen Pakatan Harapan Mohamed Hanipa Maidin menyeru Raus untuk meletak jawatan sebelum dipecat atau berdepan dengan tribunal atas dakwaan pelantikannya sebagai ketua hakim negara bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

Mahathir sejak memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu membidas pengganti Abdul Gani, iaitu Apandi dengan menuduhnya menyembunyikan bukti berkaitan dengan 1MDB.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Apandi diarahkan ber cuti manakala semakan oleh Malaysiakini mendedahkan bahawa juga dikenakan sekatan perjalanan.

Sumber MalaysiaKini