Saya Tak Rasa Diri Saya Cina, Saya Adalah Orang Malaysia!

PETALING JAYA: Kali terakhir jawatan menteri kewangan negara ini disandang oleh pemimpin berketurunan Cina adalah ketika Tun Tan Siew Sin berkhidmat antara 1959 hingga 1974.

Selepas 44 tahun, kini ia bakal diterajui Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (DAP) sebaik keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu.

Seorang wartawan dari stesen Phoenix, China bertanya kepada Setiausaha Agung DAP itu: “Selepas 44 tahun…(anda) menjadi Menteri Kewangan Malaysia yang berketurunan Cina, apakah perubahan yang akan anda lakukan?”

Guan Eng berkata, beliau tidak memikirkan tentang hakikat itu kerana tumpuan utamanya adalah untuk membantu rakyat negara ini keseluruhannya.

“Saya minta maaf, saya tidak anggap diri saya sebagai seorang Cina. Saya orang Malaysia,” katanya sambil disambut dengan tepukan dan sorakan pemimpin Pakatan Harapan yang hadir pada sidang media pengumuman anggota Kabinet yang diadakan di Menara Yayasan Selangor di sini pada Sabtu.

Sambil menegaskan bahawa semua pemimpin yang berada pada sidang media tersebut adalah bangsa Malaysia, beliau menambah: “Saya tidak tahu sudah 44 tahun, terima kasih kerana membuat kiraan itu untuk saya.”

Jelas bakal menteri kewangan itu, beliau juga akan memastikan rakyat tidak akan hidup susah.

Mengenai kontrak yang pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, Guan Eng mahu menyemak semua kontrak yang tidak menguntungkan rakyat negara ini.

“Kami akan memastikan hak rakyat, peluang pekerjaan dan perniagaan mereka akan dilindungi.

“Ia dalam bentuk pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengekalkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sudah tentunya harga bahan api,” jelasnya.

Kredit lineclear

Wakil Cina Mahu Mahathir Wujudkan Jawatan TPM Untuk Orang Cina- Presiden Hua Zong


SHAH ALAM – Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) mencadangkan supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan satu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi oleh wakil Cina.

Memetik laporan portal berita semalam, Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah turut mencadangkan supaya wakil keturunan Cina dilantik bagi jawatan menteri atau timbalan menteri di beberapa kementerian yang dianggap penting.

Antara kementerian itu adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kewangan, Pendidikan dan Dalam Negeri.

Beliau berkata, Hua Zong turut meminta kerajaan mengotakan semua janji pilihan raya termasuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tol lebuh raya, serta mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Jelas Yin Huah, beliau percaya Mahathir tidak akan berdepan masalah untuk memimpin negara berdasarkan pengalaman selama lebih 20 tahun Mahathir sebagai perdana menteri sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Vincent Lau menggesa kerajaan supaya segera mengiktiraf UEC.

Kami sedia berbincang dengan pihak berkenaan tentang isu pengiktirafan UEC, peruntukan sistematik kepada sekolah Cina serta masalah lain melibatkan sekolah aliran ini,” katanya.

Manakala Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) dalam satu kenyataan, menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu bagi mewujudkan suasana mesra perniagaan, mengurangkan kos niaga serta merancakkan kemajuan ekonomi di negara ini.

Kami percaya kerajaan akan melaksanakan lebih banyak dasar terbuka dan adil yang akan memberi manfaat kepada rakyat pelbagai kaum,” katanya.

sumber: sinar harian