KENAPA TUN MAHATHIR DAN ISTERI TIDAK MAHU PULANG KE RUMAH BARU. SEBABNYA DICERITAKAN OLEH ANAK MEREKA

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak akan berpindah ke Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya, kata anak perempuan mereka Datin Paduka Marina Mahathir.

Sebaliknya, mereka akan terus tinggal di rumah sendiri, katanya dalam catatan Facebook beliau hari ini.

“Ia selesa tapi tidak ada ruang lagi untuk barang-barang lain,” kata Marina sambil menyampaikan permintaan Dr Siti Hasmah kepada orang ramai supaya tidak lagi mengirim hadiah yang mengiringi perutusan tahniah sempena kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada dua minggu lepas.

Marina berkata sejak kemenangan itu yang dicapai pada 9 Mei, Dr Siti Hasmah menerima begitu banyak ucap selamat daripada orang ramai, serta perutusan tahniah kepada ibu bapanya.

“Beliau amat berterima kasih dan menghargai ingatan tulus ikhlas, doa dan perutusan daripada anda semua. Kebanyakan perutusan ucap selamat itu turut diiringi dengan kiriman bunga, makanan dan hadiah lain,” katanya.

Marina seterusnya menulis: “Beliau (Dr Siti Hasmah) meminta saya berpesan supaya tidak perlulah lagi mengirim hadiah kerana mengikut peraturan kerajaan Pakatan Harapan, pertama, semua ahli politik tidak dibenarkan menerima sebarang hadiah kecuali bunga dan makanan.

“Kedua, walaupun hadiah yang diberi itu sederhana sahaja, ia akan memakan banyak ruang. Oleh itu, beliau memohon pefahaman anda supaya tidak mengirim apa jua kepadanya, walaupun menjelangnya Hari Raya,” katanya.

Beliau berkata Dr Siti Hasmah sebaliknya meminta orang ramai memberi sumbangan mereka kepada badan amal pilihan masing-masing.

“Perbuatan itu lebih menggembirakan beliau,” kata Marina.

Dr Mahathir, 92, kembali menerajui kerajaan selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum baru-baru ini sekaligus menjadikan beliau perdana menteri tertua di dunia.

Beliau menjadi perdana menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003.

SUMBER : ASTRO AWANI